ARKIB : 16/08/2012
JHEV berhasrat tambah pusat dialisis veteran ATM

Zulkiflee Mazlan (berdiri, kanan) menyampaikan sumbangan kepada Sujak Mad Ehsan pada majlis penyampaian sumbangan kepada pesakit yang terdiri daripada ahli YVA di, Batu Caves, Selayang kelmarin. - BERNAMA
Ketua Pengarahnya, Datuk Zulkiflee Mazlan berkata, JHEV juga bercadang menambah lebih banyak pusat dialisis di seluruh negara memandangkan ketika ini terdapat terdapat hampir 3,000 pesakit buah pinggang di kalangan bekas anggota tentera dan keluarga mereka.
Katanya, cadangan itu akan diteliti dengan melihat kepada faktor kewangan memandangkan kos sebuah pusat rawatan tersebut berjumlah antara RM400,000 hingga RM600,000.
"Setiap tahun, sebanyak RM24 juta dibelanjakan untuk membiayai kos rawatan pesakit dialisis veteran ATM dan warisnya dan kami berusaha menambah kualiti perkhidmatan kesihatan tersebut.
"Kos rawatan dialisis itu adalah sebahagian daripada peruntukan rawatan kesihatan seluruh anggota veteran yang berjumlah RM35 juta," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan hari raya kepada 20 pesakit dialisis Yayasan Veteran ATM (YVA) di sini semalam.
Tambah beliau, veteran ATM dan waris mereka yang menetap di luar Kuala Lumpur dan Selangor tidak perlu datang menjalani rawatan di dua pusat dialisis YVA di Seri Kembangan dan Batu Caves kerana mereka boleh mendapatkan rawatan itu di pusat dialisis di seluruh negara dengan kos berkenaan ditanggung kerajaan.
"Ia merupakan inisiatif kerajaan dalam menghargai jasa dan sumbangan bekas tentera yang selama ini banyak membantu negara dalam mempertahankan tanah air," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zulkiflee memberitahu, YVA telah membelanjakan sebanyak RM1.8 juta untuk sumbangan perayaan kepada 3,671 penerima di seluruh negara terdiri daripada veteran ATM berusia 70 tahun ke atas dan balu mereka.
"JHEV dan YVA berharap sumbangan yang diberikan itu dapat membantu meringankan beban mereka terutama menjelang sambutan hari raya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan