SELAMAT DATANG KE BLOG
PERKASA PERAK CYBER TROOPERS

Blog Khas Untuk
Wadah Perjuangan Orang Melayu

Mohon Sokongan Dari Para Pejuang

/// 30 ///

PPCT


Rabu, 12 September 2012

Salah Guna Visa Di Mekah


Seramai 250 rakyat Malaysia yang menyalahgunakan visa di Arab Saudi telah dihantar pulang ke tanah air secara berperingkat-peringkat sejak awal bulan ini termasuk kumpulan terakhir seramai 13 orang hari ini.

Kesemua yang terlibat menggunakan visa yang disediakan oleh agensi pelancongan Destinasiasia Travel Sdn. Bhd. yang mendedahkan kes tersebut dan mereka dipercayai melakukan tiga kesalahan iaitu tinggal lebih tempoh, ingin melakukan ibadat haji dan ingin belajar sekolah pondok di Mekah selama lima tahun.

Bagaimanapun cubaan mereka dikesan dengan bantuan kerajaan Arab Saudi dan juga muasasah yang dilantik.

Pengurus Destinasiasia Travel Sdn. Bhd., Mohd. Norzi Md. Ghazali berkata, kesemua mereka antara 300 rakyat negara ini yang memperoleh visa menerusi pakej umrah ditawarkan syarikat itu dan berlepas ke Arab Saudi secara berperingkat sejak Julai lalu.

Katanya, sebaik sahaja sampai di Mekah, kumpulan terlibat bagaimanapun menimbulkan masalah seperti tidak mengikut jadual atau enggan mematuhi pakej tempat tinggal disediakan selain ada menunda penerbangan apabila tiba waktu untuk berangkat pulang.

"Mereka telah menghilangkan diri dengan bantuan sindiket lain tanpa melalui muasasah yang disediakan agensi.

"Hanya 50 individu sahaja yang berangkat pulang mengikut jadual seperti dirancang pada Ogos lalu. Seramai 237 individu lagi dibawa pulang awal bulan ini dan bakinya pada hari ini selepas berjaya dikesan," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Sementara itu, kumpulan terakhir seramai 13 orang yang tiba di tanah air pukul 1.30 petang, enggan ditemubual malah ada antaranya sanggup meninggalkan bagasi bagi mengelak daripada gambar mereka dirakam.

Menurut Mohd. Norzi, kesemuanya dipercayai merancang menyertai sebuah sekolah pondok yang akan mengambil masa lima tahun untuk menamatkan pengajian.

"Kita percaya mereka ada sindiket sendiri dan telah merancang dari awal lagi perkara ini. Kita terpaksa bawa mereka pulang demi menjaga nama baik negara dan agensi.

"Jika mereka mengikut segala perancangan yang ditetapkan semua ini tidak akan berlaku, mereka hanya menyusahkan orang lain dan merugikan masa sahaja," katanya.

Dalam pada itu katanya, Destinasiasia Travel Sdn. Bhd. merancang untuk membuat laporan kepada polis dan juga Jabatan Imigresen mengenai masalah terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan