Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai percaya parti itu akan bangkit semula pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan beberapa transformasi yang dibawa BN.

Berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda MCA ke-48 di Wisma MCA di Kuala Lumpur, Liow berkata prestasi baik negara selepas pelaksanaan proses peralihan dan transformasi, khususnya sektor ekonomi telah menukar persepsi rakyat, termasuk masyarakat Cina di negara ini untuk kembali menyokong BN.

Katanya komitmen kerajaan untuk membawa pembangunan dan kemakmuran ekonomi yang diterapkan dalam Gagasan 1Malaysia juga telah menambah kepada faktor 'feel good' kepada BN dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

"Rakyat dapat merasai keikhlasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan melihat prestasi negara yang memuaskan dan terus maju. Prestasi kita semakin meningkat, rakyat tentu akan menyokong keikhlasan kita," katanya.

Liow berkata keterbukaan Najib untuk mendekati masyarakat Cina, khususnya melalui laman sosial Facebook 'Ah Jib Gor' menunjukkan komitment perdana menteri untuk mendengar dan membantu kaum berkenaan.